MENU
 

JABATAN PENILAIAN DAN PEMBANGUNAN HARTANAH

SENARAI NILAIAN BARU
MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA
(Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 137 & 141)

Kenapa saya menerima Notis Senarai Nilaian Baru?

 

  • MPAJ telah menghantar Notis Senarai Nilaian Baru kepada semua pemilik pegangan harta bertanah (landed) dan strata dalam kawasan pentadbiran MPAJ bagi tujuan memaklumkan berkenaan cadangan pengenaan cukai taksiran yang perlu dibayar berkuatkuasa pada 01 Januari 2025.

  • Ini selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 30/2023 bertarikh 06 Disember 2023 berhubung Cadangan Pengesahan Senarai Nilaian Baru Bagi Pegangan di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Bila saya perlu bayar notis baru ini?

  • Notis ini tidak perlu dibayar kerana bukan bil cukai taksiran. Ini hanyalah notis pemakluman awal kepada pemilik tentang pengenaan nilaian baru ke atas pegangan (harta). Bil cukai taksiran akan dikeluarkan pada awal tahun 2025.

Kenapa ada kenaikan cukai taksiran dan bila kali terakhir dibuat?
  • Kenaikan cukai taksiran perlu dibuat selaras dengan Seksyen 137 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menyatakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah menyediakan nilaian baru setiap 5 tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.
  • Dalam hal ini, kali terakhir MPAJ membuat nilaian baru adalah pada tahun 1997.
Siapa yang terlibat dengan kenaikan cukai taksiran baru ini?
  • Semua pemilik pegangan (harta) dalam kawasan pentadbiran MPAJ, contohnya rumah kediaman, bangunan perniagaan, bangunan kilang/industri, tanah pertanian, tanah kosong dan lain-lain. Ini turut meliputi rumah kediaman kampung tradisi, kampung bukan tradisi dan rumah kos rendah.
Bilakah tarikh iklan Senarai Nilaian Baru?
  • Senarai Nilaian Baru telah diiklankan pada 18 April 2024 melalui 2 surat akhbar iaitu Berita Harian dan New Strait Times. Nombor rujukan warta bertarikh 16 April 2024 nombor rujukan MPAJ.100-1-19/6-P.U.SEL.AM.0160/30 Jld 2.

soalan lazim nilaian baharu

Berapa jumlah yang perlu dibayar?

Jumlah yang perlu dibayar adalah seperti contoh berikut:

jumlah kiraan 2

Bagaimana MPAJ menentukan cukai yang dikenakan?
  • Cukai yang dikenakan adalah berdasarkan anggaran sewa setahun sesuatu pegangan (harta). Dalam hal ini, MPAJ menggunakan asas nilaian pada tahun 2020.
  • Contoh pengiraan bagi kategori pegangan (harta) kediaman:

jumlah kiraan 1

Berapa kadar peratus (%) yang dikenakan oleh MPAJ mengikut kategori pegangan (harta)?

Kadar peratus (%) yang digunakan tiada perubahan/kekal seperti berikut:

kategori pegangan harta

Berapa kenaikan cukai baru yang dikenakan berkuatkuasa 01 Januari 2025?
  • Bagi pegangan harta yang tiada perubahan matan atau penambahan ruang lantai, kenaikan maksimum (capping) yang dikenakan adalah 25% sahaja daripada cukai taksiran semasa (cukai lama).
  • Dalam notis, Cukai Perlu Dibayar adalah seperti di dalam kotak berwarna hitam.
Kenapa CUKAI PERLU DIBAYAR di dalam notis yang saya terima menunjukkan kenaikan yang tinggi? Terdapat sebahagian pegangan (harta) yang menunjukkan kenaikan tinggi kerana berlaku:
a) Perubahan matan iaitu tanah kosong telah siap dibina dengan bangunan kediaman/perniagaan/industri;
b) Perubahan matan iaitu bangunan kediaman yang diubahsuai menjadi perniagaan/industri;
c) Perubahan matan iaitu bangunan perniagaan yang diubah menjadi industri.
d) Penambahan ruang lantai kediaman/perniagaan/industri. Contohnya: rumah kediaman satu tingkat telah diubahsuai menjadi rumah dua tingkat.
Adakah rumah kos rendah juga terlibat dengan kenaikan cukai ini?
  • Ya.
  • Walau bagaimanapun pada masa ini dasar pengecualian cukai taksiran ke atas rumah kos rendah masih lagi berkuatkuasa. Pemilik pegangan (harta) masih boleh menikmati pengecualian tersebut selagi mana pengecualian ini berkuatkuasa tertakluk ketetapan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
  • Bagi tujuan pelaksanaan nilaian baru ini, semua pemilik pegangan (harta) akan menerima notis ini.
Apa perlu saya buat bila dapat notis ini?
  • Pemilik pegangan (harta) perlu memahami maksud notis tersebut terlebih dahulu dan sekiranya terdapat pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah di talian 603-42857013 / 603-42857072 atau 603-42857268.
  • Sekiranya pemilik pegangan (harta) tidak berpuas hati atau terkilan dengan Senarai Nilaian Baru, maka bolehlah mengemukakan bantahan.
Bagaimana untuk mengemukakan bantahan kepada MPAJ?

Sebarang bantahan boleh dikemukakan dengan mengisi borang:

a) Melalui imbasan kod QR seperti di bawah.
b) Melalui muat turun borang bantahan di laman sesawang MPAJ pada pautan www.mpaj.gov.my dan
- E-mel kepada bantahansenarainilaian [at] mpaj [dot] gov [dot] my atau
- Dialamatkan kepada Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Menara MPAJ, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, Selangor 55100 Kuala Lumpur.

  • Sila hubungi talian 603-42857013, 603-42857072 atau 603-42857268 (waktu pejabat) untuk sebarang pertanyaan.
  • Sila imbas kod QR:

kod QR PPH

 

CONTOH BORANG BANTAHAN KE ATAS SENARAI NILAIAN BARU

BORANG BANTAHAN SENARAI NILAIAN BARU

Disediakan oleh:
Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah
Majlis Perbandaran Ampang Jaya
Kemas kini 25 April 2024