MENU
 

BAHAGIAN PESURUHJAYA BANGUNAN (COB)

PENETAPAN KADAR KOMPAUN BAGI KESALAHAN DI BAWAH AKTA 757

MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA

Apakah yang dimaksudkan dengan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019?

Selaras dengan Seksyen 150 Akta Pengrusan Strata 2013 (Akta 757), menteri boleh, selepas berunding dengan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, membuat apa-apa peraturan sebagaimana yang suai manfaat atau perlu bagi penjalanan peruntukan Akta ini dengan lebih baik.

Oleh yang demikian, suatu peraturan-peraturan boleh dibuat bagi menetapkan kesalahan yang boleh dikompaun dan borang-borang yang hendaklah digunakan dalam, dan kaedah dan tatacara bagi mengkompaun kesalahan itu. 

Ia membolehkan pihak berkuasa untuk menguruskan kesalahan atau pelanggaran yang dilakukan dengan cara mengenakan kompaun dan memberi kemudahan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu-isu pengurusan strata tanpa perlu melalui proses undang-undang yang panjang.
 

Bilakah tarikh kuatkuasa Peraturan – Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019?

Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 telah diwartakan secara atas talian di laman sesawang portal rasmi e-Warta Persekutuan pada 22 April 2019 dan berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.

Apakah kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun?

Terdapat dua puluh tujuh (27) kesalahan yang diperuntukkan di dalam Akta 757 yang boleh dikompaun dan tiga belas (13) kesalahan yang diperuntukkan di dalam Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 iaitu:

i.    Subseksyen 6(6) - Jadual petak hendaklah difailkan dengan Pesuruhjaya sebelum penjualan mana-mana petak;

ii.    Subseksyen 9(5) - Kewajipan dan kuasa pemaju semasa tempoh pengurusan pemaju;

iii.    Subseksyen 10(7) - Pemaju hendaklah menubuhkan akaun penyenggaraan; 

iv.    Subseksyen 11(7) - Pemaju hendaklah menubuhkan akaun kumpulan wang penjelas;

v.    Subseksyen 12(9) - Pembeli dan pemaju hendaklah membayar caj, dan caruman kepada kumpulan wang penjelas;

vi.    Subsyeksen 14(5) - Kewajipan pemaju berhubung dengan akaun;

vii.    Subseksyen 15(4) - Penyerahan oleh pemaju kepada badan pengurusan bersama;

viii.    Subseksyen 18(2) - Kewajipan pemaju untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama bagi badan pengurusan bersama;

ix.    Subseksyen 26(5) - Kewajipan badan pengurusan bersama berhubung dengan akaun;

x.    Subseksyen 27(4) - Pembubaran badan pengurusan bersama;

xi.    Subseksyen 29(3) - Kewajipan pemaju berkenaan dengan Caj bagi bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak yang disiapkan sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini;

xii.    Subseksyen 30 (2) dan (3) - Daftar pemunya petak;

xiii.    Subseksyen 34(3) - Tatacara mendapatkan jumlah wang yang kena dibayar;

xiv.    Subsyeksen 48(4) - Kewajipan dan kuasa pemaju untuk menyenggara dan mengurus;

xv.    Subseksyen 49(3) - Sekatan semasa tempoh pengurusan permulaan;

xvi.    Subseksyen 50(4) - Pemaju hendaklah menubuhkan akaun penyenggaraan atas nama perbadanan pengurusan;

xvii.    Subseksyen 51(3) - Pemaju hendaklah menubuhkan akaun kumpulan wang penjelas atas nama perbadanan pengurusan;

xviii.    Subsyeksen 54(5) - Kewajipan pemaju berhubung dengan akaun;

xix.    Subseksyen 55(4) - Penyerahan kawalan kepada perbadanan pengurusan;

xx.    Subseksyen 57(2) - Kewajipan pemaju untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama;

xxi.    Subseksyen 62(5) - Kewajipan perbadanan pengurusan berhubung dengan akaun;

xxii.    Subsyeksen 72(2) dan (3) - Daftar strata;

xxiii.    Subseksyen 78(3) - Tatacara mendapatkan jumlah wang yang kena dibayar;

xxiv.    Subseksyen 89(5) - Kuasa dan kewajipan ejen pengurusan;

xxv.    Subsyeksen 91(2) - Penamatan perjanjian pengurusan;

xxvi.    Subseksyen 92(6) - Pemaju hendaklah membayar deposit untuk membaiki kecacatan pada harta bersama;

xxvii.    Subseksyen 151(2) - Kuasa untuk mengecualikan;

xxviii.    Subperaturan 6(5) - Jadual Petak;

xxix.    Subperaturan 7(4) – Jadual petak yang dipinda;

xxx.    Subperaturan 9(7) dan (8) – Unit syer yang diumpukkan;

xxxi.    Subperaturan 19(2) – Perakuan jumlah yang kena dibayar oleh pemunya petak atau bakal pembeli;

xxxii.    Subperaturan 21(5) – Perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk menyenggara dan mengurus harta bersama;

xxxiii.    Subperaturan 25(3) – Mesyuarat agung tahunan pertama perbadanan pengurusan subsidiari;

xxxiv.    Subperaturan 30(2) – Perakuan jumlah wang yang kena dibayar oleh pemilik atau bakal pemilik;

xxxv.    Subperaturan 32(5) – Perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk menyenggara dan mengurus harta bersama; 

xxxvi.    Subperaturan 34(2) – Mesyuarat agung tahunan;

xxxvii.    Subperaturan 43(5) – Perjanjian pengurusan;

xxxviii.    Subperaturan 44(3) – Bon;

xxxix.    Subperaturan 63(2) – Akses; dan

xl.    Peraturan 70 – Membantu dan bersubahat.

Siapakah yang terlibat atau boleh dikenakan tindakan pengkompauan di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019?

 

Pemaju, pembeli, pemunya petak, pemilik petak, dan mana-mana orang yang terlibat di dalam pengurusan berstrata.

Berapakan nilai kompaun yang boleh dikenakan?

 

Selaras dengan Seksyen135 (2) Akta 757, jumlah kompaun yang boleh dikenakan adalah suatu amaun yang tidak melebihi lima puluh (50%) peratus daripada denda maksimum bagi kesalahan itu.

 

Seperti contoh, apabila pemaju melanggari Subseksyen 6(6) Akta 757, pemaju tersebut, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi Lima Ratus Ribu Ringgit (RM500,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya.

 

Oleh yang demikian, kadar kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada pemaju tersebut adalah sebanyak Dua Ratus Lima Puluh Ribu ringgit (RM250,000.00).

Bagaimanakah MPAJ menentukan kadar kompaun tersebut?              

 

Kadar kompaun dikenakan adalah merujuk kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

 

Sebelum dikenakan kompaun, adakah saya akan dimaklumkan terlebih dahulu berkaitan kesalahan yang dilakukan?

Ya, sebelum individu itu dikenakan kompaun, individu tersebut akan diberikan notis bertulis yang menyatakan jenis kesalahan yang dilakukan dan jumlah kompaun yang dikenakan. Notis tersebut perlu diberikan kepada individu tersebut sebelum kompaun dikenakan.

Bagaimanakah proses pengkompauan tersebut dilaksanakan?

 

Secara ringkas, sebelum pesuruhjaya mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang terlibat, satu kertas siasatan perlu dibuka terlebih dahulu. Selepas kertas siasatan ini lengkap, satu izin kompaun perlu dimohon kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) melalui Borang 1.

KEIZINAN UNTUK MENGKOMPAUN KESALAHAN

 

Hanya setelah TPR memberi izin kompaun, pesuruhjaya boleh mengeluarkan Notis Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan Melalui Borang 2.

 

NOTIS TAWARAN UNTUK MENGKOMPAUN KESALAHAN

 

 

NOTIS TAWARAN UNTUK MENGKOMPAUN KESALAHAN-2

Sekiranya individu tersebut bersetuju dengan jumlah kompaun yang dikenakan, pembayaran kompaun boleh dibuat menggunakan Borang 3 kepada pihak MPAJ. Pembayaran kompaun hendaklah dilakukan dalam tempoh empat belas (14) hari daripda tempoh penerimaan Borang 2.

PENYETUJUTERIMAAN UNTUK MENGKOMPAUN KESALAHAN

PENYETUJUTERIMAAN UNTUK MENGKOMPAUN KESALAHAN-2

 

 

 

Carta alir proses pengkompaunan

CARTA ALIR PROSES PENGKOMPAUNAN

Sekiranya kesalahan tersebut melibatkan beberapa orang anggota jawatankuasa pengurusan, bagaimanakah kadar kompaun tersebut dilaksanakan?

 

 

Bagi kesalahan yang melibatkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Perbadanan Pengurusan (MC), jumlah kompaun akan dibahagikan kepada jumlah anggota jawatankuasa pengurusan yang dilantik kerana kompaun dikeluarkan adalah berasaskan secara individu.

 

Sebagai contoh, pada tahun 2019, JMB Apartment ABC telah didapati bersalah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan. Hasil siasatan mendapati bahawa seramai lima (5) orang anggota jawatan kuasa pengurusan yang mengurus dan mentadbir JMB Apartment ABC tersebut.

 

Merujuk kepada Peraturan 34(2) Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, jika JMB didapati bersalah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung, JMB tersebut boleh didenda tidak melebihi Lima Puluh Ribu Ringgit (RM50,000.00). Memandangkan jumlah kompaun yang boleh dikenakan adalah separuh daripada denda kesalahan, maka JMB tersebut boleh dikompaun sebanyak Dua Puluh Lima Ribu Ringgit (RM25,000.00).

 

Memandangkan anggota jawatankuasa pengurusan adalah seramai lima (5) orang, maka jumlah kompaun Dua Puluh Lima Ribu Ringgit (RM25,000.00) tersebut akan dibahagi kepada lima (5). Setiap anggota jawatankuasa pengurusan akan dikompaun sebanyak Lima Ribu Ringgit (RM5,000.00).

Bolehkah saya membuat rayuan terhadap bayaran kompaun tersebut.

Jika individu tersebut tidak bersetuju dengan kesalahan yang dituduh atau dengan jumlah kompaun yang dikenakan, individu tersebut boleh menghantar surat untuk pengurangan kompaun ke Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB), MPAJ dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh penerimaan Borang 2.

Apabila saya telah membayar kompaun tersebut, adakah saya boleh didakwa lagi atas kesalahan yang sama?

Sekiranya jumlah kompaun tersebut telah dibayar penuh, maka tiada prosiding selanjutnya terhadap individu tersebut.

Sekiranya saya enggan membayar kompaun tersebut, apakah tindakan yang boleh dikenakan ke atas saya?

Sekiranya individu itu ingkar dengan notis kompaun tersebut, tindakan pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap individu tersebut.

Disediakan oleh:

Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB)

Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Kemas kini 14 Jun 2024