MENU
 
Demam Kepialu ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kuman Kepialu (Salmonella typhi). Kuman-kuman ini terdapat di dalam air kencing dan najis pesakit Kepialu dan pembawanya.

Pembawa Demam Kepialu ialah seorang yang mempunyai kuman-kuman Kepialu dalam badanya, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda Demam Kepialu.

Bagaimana Demam Kepialu boleh merebak :-

  • Penyakit ini direbakkan oleh orang-orang yang tidak mengamalkan kebersihan diri, makanan dan alam sekeliling dengan sempurna.
  • Mereka membawa kuman-kuman di badan dan di tangan mereka. Penyaji makanan yang tidak membasuh tangan mereka dengan teliti akan mencemarkan makanan dan minuman yang mereka sediakan dan sajikan.

Seorang pesakit Kepialu atau pembawanya yang membuang najis di merata-rata tempat adalah merbahaya kerana najis-najis ini akan mencemarkan bekalan air atau makanan melalui cara-cara berikut : -

  • Hujan yang turun kemudian mengalirkan air yang bercampur najis masuk ke dalam telaga. Seterusnya punca air tersebut pun dicemarkan dengan kuman-kuman kepialu.
  • Lalat yang menghinggap najis tadi kemudian akan hinggap pula diatas makanan yang terdedah atau yang tidak ditutup dengan teliti.
  • Dengan demikian, sesiapa yang memakan makanan yang dihinggap lalat tadi akan dijangkiti DEMAM KEPIALU.

Apa harus anda lakukan :-

  • Basuh semua sayur-sayuran dan buah-buahan dengan teliti sebelum dimakan. Elakkan dari makanan mentah terutama dimusim wabak
  • Basuh semua pinggan mangkuk dengan menggunakan air yang bersih
  • Masak air yang hendak diminum
  • Cuci tangan dengan sabun dan air yang bersih selepas membuang air besar dan sebelum menyedia atau memakan makanan.
  • Tutup/Tudung semua makanan supaya tidak dihinggap lalat
  • Gunakan penyepit, bukan dengan tangan untuk mengambil makanan
  • Sediakan makanan di tempat tinggi bukan di atas lantai
  • Gunakan tandas yang sempurna dan jangan membuang air besar di merata tempat
  • Bersihkan kawasan sekeliling untuk mengelakkan dari pembiakan lalat
  • Berjumpalah doktor di klinik-klinik atau hospital yang berdekatan sekiranya anda mengidap cirit-birit, sakit perut atau demam.