MENU
 

Zoo Negara

Terletak di Hulu Kelang 14 Km dari Kuala Lumpur. Zoo Negara menjadi salah satu pusat pelancongan utama negara. Mengikut kajian 20% dari pelancong yang datang ke Zoo Negara adalah terdiri daripada pelancong luar negara. Lokasinya yang strategik dan dikelilingi oleh fauna dari Bukit Klang Gate dan Kemensah serta dipenuhi oleh pelbagai spesis binatang.

 

Taman Rimba

Kaya dengan khazanah flora dan fauna, taman rimba yang juga sebahagian daripada Hutan Simpan Ampang telah dinaikkan taraf sebagai pusat rekreasi seisi keluarga. Air bukit yang jernih lagi segar, dilengkapi pula dengan kemudahan taman permainan dan kawasan rehat beserta laluan pejalan kaki, pondok istirehat, kawasan permainan darat dan air. Penaikan taraf taman rimba ini memberi nafas baru dan menjadikan Ampang sebagai salah satu destinasi pelancongan utama.

 

Air Terjun Batu Asah

Air Terjun Batu Asah atau lebih dikenali sebagai Air Terjun ‘Sofea Jane' oleh penduduk di sekitar yang terletak berhampiran dengan Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Perjalanan daripada Pusat Bandar Kuala Lumpur mengambil masa selama 20 minit dan jarak perjalanan adalah sejauh 15 km sahaja. Pengunjung akan melalui Zoo Negara sebelum sampai ke Kg. Kemensah dan seterusnya perjalanan mengambil masa selama 10 minit untuk sampai ke destinasi tersebut. Air Terjun Batu Asah terletak di dalam hutan simpan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Air Terjun Batu Asah ini merupakan satu – satunya air terjun yang terdapat di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Nama Air Terjun Batu Asah ini telah diberikan oleh orang asli yang mencari hasil – hasil hutan untuk kegunaan masyarakat beliau. Air terjun Batu Asah ini juga dikenali sebagai Batang Ampang menurut kata orang – orang dahulu yang pernah menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan berhampiran. Pada era 90 - an Air terjun tersebut lebih dikenali sebagai Air Terjun ‘Sofea Jane'.

 

Empangan Klang Gate

Klang Gate sebagai satu kawasan tadahan air utama dikawasan Kuala Lumpur. Kawasan rekreasi Klang Gate pula adalah unjuran daripada buangan lebihan air empangan tersebut. Ianya telah mewujudkan kolam-kolam air dan air terjun sepanjang anak sungai Klang Gate. Disinilah suasana tenang dan nyaman dapat dinikmati oleh pengunjung untuk bersantai dan menikmati keindahan alam semulajadi. Bagi peminat-peminat aktiviti berkhemah dan merentas hutan pastinya Bukit Tabuh menjanjikan kepuasan. Bukit Tabuh yang terletak di Kawasan Kemensah berhampiran Klang Gate ini menjanjikan pemandangan yang menarik setelah anda penat mendaki.

 

K Club Berhad

Kelab yang terletak di Hulu Kelang ini menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah kepada ahli-ahlinya. Mempunyai kolam renang yang cantik dan pusat bowlingnya sendiri, sudah cukup untuk menggambarkan akan kelebihan yang dimiliki oleh kelab ini.